Tuesday, 24 December 2013

"Hobbyists are amateurs - that is to say, the most intrinsically motivated of lovers. They court their pastime, not for conquest or for gain, but for pure pleasure." (A hobby is the first step toward cultivating personal creativity.Published on December 2, 2008 by Michele and Robert Root-Bernstein in Imagine That!). 
Begitulah hobi yang disifatkan atau ditafsirkan dalam laman Psychology Today, sesuatu tindakan semulajadi pada penggemar sesuatu benda atau tindakan semata-mata atas dasar kepuasan diri.

Ya, kepuasan diri. Manusia mempunyai pelbagai hobi dalam mengisi masa luang atau masa lapang mereka. Ada yang mengumpul setem, menghasilkan kraftangan, atau yang lebih mencabar, terjunan bungee, terjunan bebas, memanjat gunung, dan segala macam tindakan lagi yang memberi kepuasan keatas diri mereka. 

Kepuasan yang sukar dijelaskan dengan kata-kata dan sukar juga digambarkan melalui sebarang gambaran grafik. Melihat tindakan si pelaku hobi juga tidak memberi apa-apa kesan pada pemerhati.

Cuma pada mereka yang menggemari sesuatu hobi itu, melaluinya, mengalaminya, merasainya, dan mengecapinya yang dapat memahami kepuasan yang dirasai. Namun sedihnya dalam keadaan yang dunia yang bergerak maju kehadapan meninggalkan segala bentuk ketidak rasionalan fikiran, masih ramai golongan yang sukar menerima atau menghormati tindakan orang lain. 

Pendek kata, yang lebih laju dikatakan kalut, manakala yang lebih lambat dikatakan lembab. Hanya pemikiran, pandangan, juga tindakan mereka sahaja yang betul. Hasilnya kritikan dilemparkan, namun yang lebih menyedihkan, bentuk pemikiran ini dizahirkan secara berani dengan kejian juga fitnah. 

Lontaran kata-kata seperti 'tiada kerja berfaedah lain untuk dilakukan?', 'Orang bodoh sahaja yang buat kerja macam tu', 'Buang masa saja', dan bermacam lagi kritikan. Bagi saya, sebarang hobi yang dilakukan selagi mana tidak menyanggahi syarak, tanpa mudharat, dan tidak memberi sebarang kesulitan pada umum, maka terpulanglah pada individu untuk melakukan apa yang diminati. Menghormati pandangan orang lain selagi mana tidak menyalahi norma masyarakat, nilai agama, dan undang-undang, dilihat agak janggal bagi masyarakat kita.

Secara peribadi, saya menggemari aktiviti memancing. Kehidupan dari kecil saya yang berlatarbelakangkan sungai-sungai, sawah padi, kolam-kolam, dan tasik serta budaya masyarakat disini sedikit sebanyak memberi pengaruh pada saya untuk meminati hobi ini.


Secara peribadi juga memancing bagi saya lebih daripada salah satu cara menjerat ikan, atau perlawanan dengan ikan itu. Tidak dinafikan perlawanan dengan ikan itulah antara salah satu sebab ketagihan hobi ini terhasil. Namun, banyak lagi aspek yang bila digabungkan hanya dapat dijelaskan dengan satu perkataan -memancing-.

Antara aspek-aspek lain yang saya maksudkan merangkumi pelbagai tindakan yang mampu saya jelaskan secara umum sahaja. Pengembaraan sebagai contoh, disebabkan memancing memerlukan si pemancing mencari lubuk-lubuk ikan yang strategik, maka pengembaraan mencari lubuk tersebut menjadi salah satu pakej dalam hobi ini. Tidak mengira hutan tebal, sekitar ladang tanaman, sawah bendang, hatta di tengah-tengah kesibukkan bandar jika terdapat sungai, kolam, lombong, tasik, atau pinggiran laut, pasti ia dijelajahi. Lubuk-lubuk ikan ini tidak mengira tempat asalkan terdapat ikan didalamnya.

Memancing juga tidak bermakna kita duduk sahaja atau membazir masa. Bagi pendapat saya, ketika itulah kita dapat memerhatikan alam. Bukan hanya melihat, tetapi memerhatikan sambil memikirkan. 

Seperti mana yang dinyatakan dalam Al-Quran dalam Surah 'Aali Imran: 190: 
Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal. 

Juga pada Surah 'Aali Imran juga pada ayat 191: (yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.

Dengan memerhatikan alam, dan keadaan sekeliling, kita dapat mensyukuri dan mengagumi anugerah Allah, menilai betapa kerdilnya kita sebagai hamba dalam alam ciptaan Allah yang begitu luas ini. Juga ketika itu juga kita dapat bermuhasabah diri. Menilik kembali kesilapan dan kekurangan diri lagu memikirkan jalan penyelesaian dalam menanganinya. Kekadang, duduk sahaja bukanlah suatu pembaziran, tetapi salah satu peringkat dalam tindakan kita.

Seringkali ketika memancing, beg plastik serta segala jenis sampah sarap tersangkut di mata kail. Selain memberi pengharapan yang palsu, ia juga memperlihatkan betapa tercemarnya kawasan perairan darat kita. Hal ini amat merunsingkan dan sekaligus mendidik pemancing agar menjadi golongan yang lebih menghargai alam sekitar. Selain itu spesis ikan yang semakin berkurangan di sesetengah habitat juga amat merunsingkan. Inilah kelebihan memancing juga yang dapat membuka mata kita kearah perspektif berbeza dalam kehidupan.

Jika diperhatikan juga, pemancing juga antara kelompok yang agak peramah. Kemana sahaja pemancing itu pergi, ilmu tentang jenis ikan, habitat, dan kaedah memancing perlu diselidiki. Selalunya situasi ini dapat dilihat di kolam-kolam berbayar di Malaysia di mana pemancing baru selalunya akan bertanya pada pemancing yang lebih berpengalaman di sesuatu kolam itu untuk mendapatkan hasil yang diingini. Ilmu juga tidak ramai yang lokek atau kedekut untuk dikongsikan. Alhamdulillah.

Mengakhiri ruangan ini, sebarang jenis hobi atau kegemaran seseorang individu perlulah dihormati selagi mana tidak bertentangan dengan apa yang saya sebutkan diatas. Hal ini kerana apa yang kita nampak tidak semestinya hanya apa yang terzahir. Terdapat pelbagai aspek dalam sesuatu tindakan itu yang menjadikan seseorang itu mendapat kepuasan diri bahkan terdapat ilmu yang tersendiri yang tersembunyi bagi setiap hobi yang kurang jelas bagi yang tidak mengalaminya sendiri.